Tuesday, April 2, 2013

masalah tidur


Pelbagai aktiviti sukan dilakukan Fariz pada siang hari sebagai alternatif bagi memudahkan dirinya tidur lena pada waktu malam. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia kerap mengalami masalah kesukaran tidur.
Bermacam cara dilakukan namun hingga kini belum mendatangkan hasil. Pada fikirannya, dia hanya mempunyai penyakit sukar tidur yang dipanggil insomnia dan menganggapnya gejala biasa.

Namun, gangguan tidur itu berterusan hingga mengganggu rutin hariannya. Prestasi pekerjaannya turut merosot selain mengalami masalah bangun pagi disebabkan Fariz hanya tidur dua hingga tiga jam.
Di jalan raya pula, dia kurang memberi tumpuan terhadap pemanduan disebabkan mengantuk dan pernah mengalami kemalangan akibat kesan kurang tidur dialami.

Risau dengan keadaan yang semakin meruncing, Fariz menemui pakar yang diharap dapat bantu menyelesaikan masalahnya.

Hasil pemeriksaan, Fariz didapati mengalami sejenis masalah tidur iaitu Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara daripada hidung dan mulut tersekat.
GANGGUAN dalam kitaran tidur boleh menyebabkan kemerosotan dalam emosi, tingkah laku, produktiviti dan prestasi kerja.
Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, masyarakat negara ini masih kurang peka terhadap masalah kecelaruan tidur dan menganggapnya hanya masalah biasa.

“Kurang kualiti tidur boleh menjadi penyebab kepada penyakit seperti tekanan, penyakit jantung, strok dan kencing manis.
“Masalah tidur turut menyebabkan kurang perhatian dan fokus terhadap kerja, menjejas produktiviti selain menyumbang kepada masalah kemalangan jalan raya.

“Hasil kajian dilakukan tiga tahun lalu, sebanyak 44 peratus daripada pemandu bas didapati mengalami sindrom OSA, yang mana mereka tujuh kali lebih berisiko mengalami kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui sempena majlis Hari Tidur Sedunia anjuran Philips Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Menurut Dr Muhsin, meskipun gejala ini boleh diubati, hanya sebahagian daripada mereka berjumpa pakar bagi menyelesaikan masalah itu.

Penyakit itu tampak biasa tetapi keadaan yang tidak terkawal boleh memberi impak, terutama dari segi ekonomi.

Di Amerika Syarikat, kira-kira AS$90 bilion hingga AS$100 bilion (RM297 bilion hingga RM330 bilion) dibelanjakan bagi menangani gejala insomnia setiap tahun.

Ini berikutan sebanyak 46 peratus mereka yang mempunyai gangguan tidur melaporkan hilang tumpuan dalam pekerjaan berbanding hanya 15 peratus individu yang sihat.

“Bagi memberi kesedaran dan mengenal pasti gejala kecelaruan tidur, langkah diambil ialah mewujudkan pusat kecemerlangan pakar bagi kecelaruan tidur di Malaysia.

“Untuk itu, SDSM memberi tunjuk ajar dan kemudahan latihan pelbagai peringkat dinamakan teknologi tidur bagi memberi pendidikan berterusan serta penjagaan penuh dalam perubatan tidur,” katanya yang berharap masyarakat akan lebih peka terhadap isu ini.

Kecelaruan tidur lain seperti parasomnia (berjalan waktu tidur, bangun dan menangis pada waktu malam, terutama dalam kalangan kanak-kanak) dan narkolepsi (kecenderungan untuk tidur di dalam persekitaran sepi) turut mengganggu fungsi fizikal, mental dan emosi normal, menyebabkan ramai kurang produktif di tempat kerja, mudah marah, tertekan dan mengantuk ketika memandu.

Kaji selidik terbaru dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia terhadap 289 pemandu bas mendapati, sebanyak 44.3 peratus daripada mereka mengalami masalah kecelaruan tidur.

Dr Muhsin berkata, kecelaruan tidur bukan hanya memberi kesan kepada golongan dewasa, tetapi juga kanak-kanak.

Ini terbukti apabila hasil kaji selidik dijalankan mendapati sebanyak 15 peratus kanak-kanak sekolah rendah mengalami masalah pernafasan ketika tidur, dipercayai ada kaitan dengan penyakit asma dan gejala obesiti.

“Gangguan dalam kitaran tidur dikaitkan dengan kemerosotan dalam emosi dan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak. Ini antara isu penting yang perlu ditangani kerana ada hubungan di antara gangguan tidur dan pembangunan kognitif mereka terhadap prestasi sekolah.

“Kita juga memerlukan penyelidikan komprehensif meliputi pelbagai aspek isu kesihatan gangguan tidur seperti impak, perubatan dan penyakit psikiatrik yang berisiko tinggi terhadap pengguna jalan raya dan pekerjaan berbahaya,” katanya.

Pengetahuan dan maklumat mengenai kecelaruan tidur adalah penting terhadap perancangan berkesan secara menyeluruh.

Lebih penting ialah menggabungkan soal selidik kesihatan tidur dalam kajian morbiditi kebangsaan untuk mendapatkan angka sebenar di peringkat nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Universiti Malaya, Prof Datuk Amin Jalaludin berkata, ramai kurang mengambil berat mengenai peranan dan kepentingan tidur terhadap tubuh dan kehidupan seseorang.

“Kita sering lupa untuk memperakui peranan tidur pada waktu malam yang sempurna dan kesannya terhadap kesihatan diri.

“Penyelidikan menunjukkan kualiti dan jumlah tidur boleh memberi kesan kepada kesihatan, keselamatan dan produktiviti.

“Kecelaruan tidur paling biasa ditemui seperti OSA ada kaitan rapat dengan pelbagai penyakit lain. Misalnya, pesakit OSA pada tahap sederhana hingga teruk akan mengalami peningkatan risiko tekanan darah tinggi sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda peningkatan risiko untuk mengalami serangan jantung,” katanya.

Tidur antara gaya hidup sihat paling kurang didiagnosis dan diperbincangkan.

Dianggarkan kelaziman Sleep Disordered Breathing (SDB) iaitu masalah pernafasan ketika tidur ialah sebanyak 24 peratus dalam kalangan lelaki dan sembilan peratus bagi wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun.

Peningkatan obesiti di Asia, terutama di Malaysia, Filipina dan Singapura turut mengakibatkan peningkatan kelaziman OSA lebih tinggi, iaitu kecelaruan paling lazim dikaitkan dengan SDB.

Sebanyak 15.1 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia atau 2.5 juta orang dewasa dikategorikan sebagai obes. Walaupun OSA lebih 30 tahun diperakui secara klinikal, perkembangan kesedaran mengenai penyakit ini di luar bidang perubatan tidur adalah perlahan.

Di Asia, kelaziman OSA dalam kalangan lelaki pertengahan usia adalah 4.1 hingga 7.5 peratus, manakala bagi wanita pertengahan usia, 2.1 hingga 3.2 peratus. Selain obesiti, struktur tulang wajah juga penyumbang utama kepada OSA dalam kalangan orang Asia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Philips Malaysia, Naeem Shahab Khan berkata, usaha sama itu diharap dapat membantu memperbaiki kehidupan pesakit yang mengalami masalah kecelaruan tidur.

“Kebanyakan kecelaruan tidur boleh dirawat, namun ramai individu yang tidak mencari dan mendapatkan bantuan pakar. Philips akan terus berusaha membantu mereka yang mengalami masalah pernafasan bercelaru ketika tidur.

“Ada tiga langkah utama dapat membantu individu yang mengalami OSA iaitu kesedaran, diagnosis dan rawatan. Setiap satunya memainkan peranan penting bagi memperbaiki kualiti tidur dan kesihatan keseluruhan seseorang,” katanya.

....petikan daripada harian metro online....

No comments:

Post a Comment